Friday, November 21, 2008

Aku terima nikahnya

Assalamualaikum wbt


Nampaknya akupun sama macam aimi, tertarik dengan buku Ust Hasrizal bertajuk " Aku terima nikahnya". akupun sebenarnya tak berniat nak update blog lagi dlm minggu ni, tp disebabkan terpanggil untuk mengulas sedikit apa yang terkandung di dalam, aku luangkan sedikit masa di t/hari jumaat yang mulia ini.
Sekilas membaca bab2 terawal berkisar dengan alam praperkahwinan, rasa terharu tiba-tiba hadir. aku terbayang saat2 aku dan suami yang masa tu sama2 menuntut di bumi sakura ( Jepun) .. aku di Oita, dia di Shimane....kalau naik keretapi 10 jam baru sampai. tapi takdir Allah telah mempertemukan kami dalam perkumpulan usrah. Jarak perjalanan yang jauh tidak menghalang anak-anak malaysia daripada bertemu dan berkumpul untuk menyemarakkan kem-kem ibadah . Tiada yang istimewa dapat diceritakan bagaimana ikatan janji boleh termeterai antara aku dan bakal suami ( masa tu), selain, rasa persaudaraan dan fikrah yang sama, meskipun kami tahu kampung kami berjauhan, aku johor, dia kelantan. Kenangan pahit manis suka duka sewaktu melayari alam praperkahwinan tetap lekat dalam ingatan. Segalanya tidak dapat dipisahkan dari perkumpulan sahabat- sahabat sefikrah, usrah, study, assigment, malah cabaran-cabaran luaran dan dalaman. Alhamdulillah, aku dan dia telah melaluinya dalam batas syariat yang nikmatnya kami rasa hingga kini. Alhamdulillah, hanya rasa syukur dan puji bagi Allah yang dapat kami ucapkan.
Kini telah 5 tahun usia perkahwinan kami. Segala suka duka, dugaan dan cabaran, pahit maung dalam kehidupan berumahtangga tidak dapat dielak oleh sesiapa sahaja. Hanya berpegang pada prinsip, " rumahtangga di kemudi oleh dua peranan, cinta dan tanggungjawab ( bak kata Ust Hasrizal), cinta akan mengemudi bahtera rumahtangga apabila dia mekar, dan apabila dia layu, tanggungjawab akan memainkan peranan". Iman dan kepergantungan kepada Allah merupakan elemen terpenting dalam memastikan bahtera terus berlayar tenang. Kesederhanaan dalam perbelanjaan, perhiasan,perhubungan, merupakan elemen teknikal yang sangat penting.
Sekarang ni aku tengah hamil 5 bulan anak yang ketiga. Sungguh cepat masa berlalu. Nurul Mardhiah pun akan masuk tadika tahun depan, Nurul Amna pulak dah menampakkan potensi nak ikut si kakak. Cerdiknya bukan main. Nama pun kanak-kanak.. umur sekitar 5 , 6 tahun ke bawah merupakan satu tempoh di mana kecerdikan kanak-kanak di tahap yang paling tinggi. Sewaktu inilah segala input yang diterima mereka akan dihadam dengan cepat dan lahir dalam perlakuan mereka seharian, melalui tindakan dan pertuturan. Tempoh ini kita sebagai ibu bapa mesti mengambil kesempatan mengajar, mendidik, memberi input yang baik-baik, supaya biarlah ia input pertama yang mereka terima untuk setiap topik kehidupan. Sekiranya mereka menerima input yang salah, agak sukar bagi kita untuk memperbetulkan kesalahan tersebut.
Bercakap tentang kanak-kanak, tiada lain dapat digambarkan kecuali ia adalah bukti-bukti kebesaran Allah. Sepanjang aku dan suami dikurniakan 2 orang dan bakal menjelang 3 insyaAllah, banyak keajaiban2 yang sukar kami tafsirkan. bayangkan seorang bayi yang baru lahir beberapa saat, sudah berasa kelaparan dan memiliki daya menghisap susu yang kuat. bayangkan bagaimana puting si ibu boleh luka lantaran kuatnya hisapan si bayi. Maha suci Allah, hanya Allah sahaja yang memberi wahyu kepada si bayi untuk menghisap susu. bayi akan menangis dan menjerit sekiranya dia kelaparan dan keinginannya terhadap susu tidak dilayan. Ini salah satu tanda yang bayi tersebut telah memiliki emosi dan nafsu, padahal ia baru berusia sehari, sejam atau kurang sejam di dunia ini.
Banyak lagi keajaiban2 yang tersurat dan tersirat yang insyaAllah akan aku ceritakan di topik-topik akan datang.

Wednesday, November 19, 2008

Perempuan


Assalamualaikum wbt

Just nak ambik masa sikit untuk mencoret something dalam blog ini. Beberapa peristiwa yang aku lalui kebelakangan ini membuatkan aku terfikir banyak kali. Actually, dah lama aku buat tak kesah dengan keadaan sekeliling. mungkin sebab bz siapkan thesis, anak dan sebagainya.

Kisah pertama adalah berkaitan masalah penyewa rumahku di kota damansara: yang memang tak pasti apa kesudahannya. Sebenarnya, selain daripada bab duit sewa dan bil2 yang tertunggak, ada perkara lebih berat yang aku tak boleh terima, iaitu niat dia yang ingin mengkhianati aku sejak dari awal lagi. Tutur dan raut wajah yang manis sewaktu merayu untuk menyewa rumahku dan meminta aku melengkapkan rumah dengan pelbagai kelengkapan agar dia dapat bayar dengan sempurna adalah tipu daya semata-mata. Setiap bicaranya yang nampak ikhlas dan bersungguh-sungguh mengatakan dia ada masalah kewangan mendadak dan minta masa untuk menjelaskannya rupa-rupanya bohong belaka. Seseorang telah menghubungi aku dan mengatakan aku kena temberang mentah-mentah. Di depanku, lembut gigi dari lidah, tetapi di belakangku, bagaikan pedang yang menikam. Aku seolah-olah rasa terancam dan laporan polis telah dibuat. Biar! Biarpun dia perempuan yang baru melahirkan anak, dah hilang kesian aku pada dia. Semoga Allah memelihara bayi dan anaknya daripada kejahatan ibunya. Bagi aku, tak dapat balik bayaran tunggakan pun takpe asalkan dia tinggalkan rumah aku secepat mungkin. Ngeri aku nak berurusan dengan orang yang tak normal macam tu. eiii...

Bila bercerita bab perempuan, ada banyak perkara kompleks yang susah nak dihuraikan. Baru-baru ini aku terbaca email seseorang dalam satu mailing list, berbunyi : "Pada saya ..Perempuan ni paling berguna semasa "process buat anak" je..
ataupun kekasih ataupun teman... Selain daripada itu ..
Buat sakit kepala je ...(Atas dan bawah)" : oleh ZulHB.

Bagi aku kenyataan ini seharusnya diperbetulkan dengan menambah perkataan 'sesetengah' yang menjadikan ayatnya begini : Pada saya, sesetengah perempuan ni paling berguna...bla bla...

Bagi aku , setiap perempuan normal akan marah dengan kenyataan ZulHB ini, biarpun hakikatnya memang betul ada sesetengah perempuan yang memeningkan kepala, ( mungkin atas sahaja, atau bawah sahaja atau kedua-duanya). Tetapi perlu diingat tidak semua perempuan mendatangkan masalah, sebaliknya merekalah yang menyelesaikan masalah.

Di sini, aku tidak akan bercakap mengenai perempuan atau lelaki yang baik2, perempuan atau lelaki yang mulia, perempuan-perempuan atau lelaki lelaki syurga, bidadari syurga dan sebagainya kerana semua orang telah maklum, mereka adalah kekasih Allah. Bercakap mengenai perempuan yang bermasalah, aku tidak bias pada sesiapa lantaran aku seorang perempuan. Berdasarkan kecetekan ilmu dan kedangkalan akal, aku masih boleh berlaku sedikit adil. Ini kerana aku bersetuju terlalu ramai perempuan yang memeningkan kepala lelaki , atau ibubapa, atau kaum perempuan sendiri atau sesiapa sahaja termasuk haiwan dan makhluk tak bernyawa. Dengan mengambilkira kenyataan ZulHB, fenomena ini betul, tetapi mesti ingat, lelaki adalah salah satu penyumbang sebab perempuan berperangai buruk. Antara sebab2 tersebut adalah;

1. Si Lelaki ( suami, teman lelaki) itu sendiri yang memeningkan kepala si perempuan tersebut ( samada atas sahaja, bawah sahaja atau kedua-duanya)
- contoh fenomena : sikap panas baran, sikap tidak matang dari segi membuat keputusan, lembab dan tidak ambilkisah dengan perkara penting seperti urusan anak dsb..

2. Si lelaki ( suami atau teman lelaki) tersebut mengambil kesempatan ke atas kebaikan perempuan
- contohnya : mengambil kesempatan ke atas harta/duit isteri atau teman wanita,

3. Si lelaki membebankan isteri dengan kerja2 luar dan rumahtangga, sedangkan dia goyang kaki tengok tv dan baca suratkhabar.
- akibat dari terbeban kerja, si isteri menjadi terlalu penat dan tertekan, jadi pemikiran tidak menjadi stabil lalu akan memeningkan si suami ( terutamanya) , dan bila si suami ingin menunaikan hajat nafsunya, pasti si isteri menolak atau tak boleh well perform.. si suami pasti marah kerana tak puas hati dengan layanan batinnya...

4. Si lelaki ( dah sedar tak boleh berlaku adil zahir dan batin) lantaran kecetekan ilmu dan kemiskinan harta, ada hati nak berkawin lebih dari satu pasti akan dihamun oleh isteri pertama, yang mana akan mendatangkan kepeningan kepada si suami tersebut
- Sebab isteri mengamuk sebab suami nak kawin lagi satu ialah, apabila si suami berkawin no.2, kebajikan isteri pertama dan anak2 daripada isteri pertama terabai. ** Bagaimanapun , bagi isteri yang memang menyakini suami mereka akan berlaku adil, tidaklah dia akan menghalangi niat suci suaminya untuk berkawin lain dgn tujuan untuk membantu**


Dan ada banyak lagi sebab-sebab yang datang dari lelaki yang menyebabkan perempuan berperangai yang tidak disenangi lelaki.


Antara kesimpulan yang boleh kita ambil tentang fenomena ini:,

1.sesetengah perempuan berperangai buruk adalah disebabkan lelaki mereka ( suami atau teman lelaki ) yang berperangai buruk.

2. Mereka akan kembali normal sekiranya hak mereka dikembalikan

3. Sekiranya mereka hanya mendiamkan diri walaupun telah dipergunakan oleh lelaki yang berperangai buruk, maka mereka telah ditindas dan amat kesianlah perempuan2 yang tertindas ini.

Dan....situasi ini pasti tidak ada kesudahannya sehinggalah berakhirnya hayat mereka di dunia ini dan cerita-cerita atau fenomena2 ini pasti akan sentiasa hadir menghiasi dunia ini hingga kiamat.


Bercakap mengenai lelaki dan perempuan yang berperangai buruk , biarpun bukan dari sebab pasangan mereka , aku setuju memang ada ramai sejak dari mula sampai sekarang dan akan berterusan hingga ke hari kiamat. Antara sebab mereka berperangai buruk, ( menurut kecetekan ilmu dan kedangkalan akalku ) adalah:

1. Ketandusan ilmu, terutama ilmu akhirat
2. Ketandusan iman
3. Terpengaruh dengan persekitaran, dan tiada kesedaran untuk bertaubat
4. hitamnya hati kerana terlalu banyak buat dosa
5. dll lagi


Kesimpulannya, kenyataan ZulHB yang aku utarakan di atas tadi seharusnya ditulis begini:

" Sesetengah lelaki dan perempuan paling berguna masa process buat anak sahaja, ataupun kekasih , ataupun teman dan selebihnya memeningkan kepala sahaja....( atas dan bawah) , dan sesetengah lelaki dan perempuan langsung tidak berguna biarpun untuk apa sahaja sekalipun selain dari menyusahkan orang lain, Tetapi sesetengah lelaki dan perempuan ada yang bekerjasama antara satu sama lain, saling melengkapi dan memahami, untuk membawa dan mengekalkan keharmonian di dunia ini hingga ke akhirat.."

Biarpun lelaki atau perempuan, perhitungannya tetap sama, balasannya tetap sama, beban tugas tetap sama, yang membezakan hanyalah jantina yang membawa peranan yang berbeza.


wallahualam

Friday, November 14, 2008

topikku hari ini

Assalamualaikum wbt

Ada beberapa topik yg aku lalui hari ni,
pertama - berkaitan ceramah MEMS yang disampaikan oleh Dr Burhanudin UKM. Ceramah dia telah menambah kefahaman aku ttg bidang ini dan memberi semangat untuk terus bersama pasukan MEMS di Malaysia ni .

Topik kedua, berkaitan real estate bisness yg aku handle sekarang ni. Bukan rumah sapa pun ..rumah aku sendiri di Kota Damansara yang aku sewakan. Penyewanya dah 4 bulan tak bayar sewa...so hutang dia dah rm4K. aku pulak kena bayar installment bank. mana nak cekau duit nih....actually aku dah bagi surat notis sampai hujung bulan ni...dia mesti keluar. Tp confirm dia tak kan keluar sebab dia nak tunggu habis pantang, iaitu hujung disember. Bila aku request bayaran sewa, dia janji nak bayar. Itupun aku cuma nak minta rm1.5K je mintak dia bayar dulu minggu ni coz aku nak cover bank. tp malangnya dia tutup hp dan sorang lg pulak ignore dan buat bodoh je. Karang aku berkeras suruh dia keluar jugak hujung November ni, dengan tidak kerelaan dia....aku rasa kejam sgt. aku pulak yg rasa tak patut. sedih dan marah jugak..

Apa yg patut aku lakukan? serba salah betul.

Tp aku pasti sekiranya aku memberi peluang kepada orang lain, org akan bagi peluang pada aku dan Allah akan menambah rezeki aku ....emmm entahlah...hopefully segalanya akan menjadi baik.

wallahualam.

Friday, November 7, 2008

Hujung Minggu di Cameron Highlands

Assalamualaikum WBT

Alhamdulillah setelah lebihkurang 2 bulan tertangguh akibat kesibukkan yang tidak dapat dielakkan, akhirnya berkesempatan juga aku menjenguk blog ini. Dapatlah aku mencoret sedikit sebanyak pengalaman percutian hujung minggu kami di Cameron Highlands.
Aku plan untuk ke Cameron dah lama, tapi masa saja yang tidak mengizinkan. Tapi kali ini tiba-tiba suami memberi 'green light' untuk bercuti hujung minggu. Mungkin kerana dia sengaja nak entertain kami, kerana dia sendiri baru balik dari Tokyo 2 hari sebelum tu.
Pagi sabtu kami bertolak dari KL lebih kurang jam 8 pagi . Mulanya nak keluar lebih awal, tapi biasalah, bila dengan kerenah anak-anak, jadual jadi terganggu. So, kami ikut Plus highway dan exit Simpang Pulai . Ramai yang menasihatkan kami supaya melalui jalan Simpang Pulai kerana ia lebih mudah dan lurus. Alhamdulillah, jam 12 t/hari kami selamat sampai di destinasi pertama, Kampung Raja.

Persinggahan pertama kami adalah Green View Garden, sebuah ladang sayur dan strawberry. Keluar dari kereta, kami merasakan tiupan angin dingin meskipun cuaca agak panas ketika itu. Seperti yang diperkatakan, suhu di sini tidaklah sedingin dulu. Mungkin kerana pemanasan global membuatkan suhu Cameron meningkat. Di ladang tersebut kami melihat sendiri bagaimana sayur-sayuran hidroponik dan strawberry ditanam. Sayur-sayur hidroponik pula dijual dengan harga rm2 sepokok. kami sempat menikmati aiskrim strawberry yang dibuat secara tradisional.



Destinasi kedua kami adalah Cameron Bharat Tea House, terletak tidak jauh dari Brinchang.
















Tea house ini menyediakan pelbagai jenis teh dan cenderahati dengan harga yang berpatutan. Bangunannya dibina bersebelahan ladang teh yang menghijau. Sempat kami berposing, merakamkan keindahan yang terbentang.
















Setelah hampir 20 minit meninjau kesegaran yang menghijau, kami mengorak langkah ke pusat penanaman orkid yang terletak berhampiran. Kepelbagaian orkid memukau pandangan. Walaupun harganya tidaklah berbeza berbanding di tempat lain, tetapi kualitinya tampak lebih hebat. Mungkin kerana suhu yang sederhana membuatkan pokok-pokok tersebut tumbuh segar. Aku sempat menjamah tomato ceri yang dijual dengan harga rm3 bagi 1/2 kg. Memang terasa kelainan, daripada yang dijual di kedai di KL. maklumlah, yang ini baru dipetik dari pokok.














Dengan bayaran rm150 semalaman tanpa sarapan pagi, bilik yang kami tempah dilengkapi dengan 2 buah katil queen size dan bilik air siap dengan TV. Tiada kelengkapan aircond disediakan kerana sememangnya tempat ini tidak memerlukan air-cond. Lantai yang dipijak juga terasa seperti air batu, apatah lagi air yang keluar dari pili. Nasib baik disediakan air panas, tidaklah kami sukar untuk mandi.


Setelah hampir 1 jam berehat dan solat, kami keluar ke restoran berhampiran kerana sejak tadi belum menjamah makanan tengahari. Di cameron tidak banyak restoran melayu yang kelihatan, tapi kami beruntung kerana hotel kami berhampiran dengan sebuah restoran Melayu. bagaimanapun, waktu kami tiba, keadaan sangat sesak kerana sebuah rombongan sedang menikmati juadah tengahari mereka. kami terpaksa menunggu selama 1/2 jam, sebelum didatangi pelayan yang mengambil order. Nasib baiklah kami bersabar.



Jam telah menunjukkan jam 6petang dan tak banyak tempat yang boleh kami lawati. Hanya sempat singgah di kedai, sempat membelikan nurul belon strawberry yang banyak dijual di sini. Aku pula sempat beli 2 peket strawberry just nak makan-makan.
Lepas singgah di Pusat penanaman kaktus, kami pulang ke hotel untuk solat maghrib. Malamnya kami hanya melawat pasar malam Brinchang yang menyediakan pelbagai barangan terutama sayur-sayuran dan buah-buahan. Aku pula memborong sayur, jagung, bunga dan pelbagai lagi barang. Semuanya dijual dengan harga yang sangat berpatutan, tak mungkin dapat dibeli di tempat lain.




Hari ahad , kami check out hotel jam 9.30 pagi. Cuaca agak sejuk kerana hujan pada malam semalamnya. Setelah bersarapan, kami merancangan untuk pergi ke BOH Plantation. jalanraya agak sesak kerana masing-masing dengan niat yang sama, untuk menikmati keindahan Cameron highland. Boh Plantation terletak 2km dari jalan utama. Menyusuri lereng bukit yang sempit dan curam, sungguh menyeramkan terutama apabila berselisih dengan kenderaan dari arah hadapan. Bagaimanapun tidak dapat dinafikan keindahannya dengan kehijauan ladang teh yang terbentang saujana mata memandang. Ditambah lagi dengan udara yang nyaman menyegarkan, aku seperti berada di dalam filem hindustan. Nasib baiklah ada 2 orang si kecil kami yang menghalang kami berhenti di lereng bukit tersebut. kalau tak, sure aku dan suami akan berposing bak hero-heroin hindustan..











Lebihkurang 20 minit menyusuri pergunungan teh, kami sampai ke pusat operasi Boh Plantation. Terdapat kafe, dan kedai menjual pelbagai perisa Teh Boh. kami juga melawat kilang pemprosesan dan pengeringan dan dapat melihat sendiri bagaimana teh di kilangkan. Wangian yang menusuk terlalu kuat sehingga kami tak tahan duduk lama di dalam kilang.

















kami menghabiskan masa lebih 1 jam di Boh Plantation. Rancangan kami masih banyak untuk melawat tempat-tempat lain di cameron ini, tetapi masa mencemburui. Akhirnya kami terpaksa akur dan memilih destinasi terakhir kami adalah Ladang strawberry Hj Al Mansoor. Di situ aku membeli 2 peket strawberry segar untuk dibawa pulang ke KL.

Perjalanan pulang kami melalui jalan menuju ke Tapah. Bagai dikatakan ramai orang, perjalanan yang dihadapi sungguh sukar kerana keadaan jalan yang bengkang bengkok dan sempit serta gaung di tepi jalan. Aku mula terasa pening dan mabuk, begitu juga Nurul dan Amna. Aku meminta izin suami untuk memandu bagi mengelakkan kepeninganku bertambah teruk. Bagaimanapun amna dan nurul tetap pening sehingga termuntah beberapa kali. Aku sendiripun termuntah walaupun aku yang memandu kereta. Bagaimanapun kami bersyukur, dengan kesukaran yang kami hadapi, kami dapat melihat-lihat perkampungan dan gerai-gerai orang asli disepanjang jalan. Inilah yang dinamakan bercuti, walaupun sukar tapi kami seronok.

Wallahua'lam



Thursday, August 14, 2008

Dunia adalah persediaan ke akhirat : dari perspektif pembangunan materialistik

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera

Firman Allah SWT

"Ketahuilah bahawa ( yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah ( bawaan hidup yang berupa) semata-mata permainan dan hiburan ( yang melalaikan) serta perhiasan ( yang mengurang), juga ( bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu ( dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba memperbanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang ( menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu ), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia hancur bersepai; dan ( hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat ( disediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan dunia itu), dan ( ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah ( disediakan bagi orang-orany yang mengutamakan akhirat). Dan ( ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya."

(Surah AlHadid, ayat 20)

Setiap saat dan detik di dunia ini merupakan ujian yang Allah SWT telah tetapkan ke atas manusia. Allah melimpahkan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan menarik nikmat dari sesiapa yang dikehendakiNya. Ramai manusia di dunia ini diberi kesenangan dan ramai juga yang diberi kesusahan di dalam kehidupan masing-masing. Ramai yang bersyukur dengan apa yang mereka ada , dan ramai juga yang kufur dengan apa yang diterimanya. Dunia menyaksikan manusia tidak pernah merasa puas dengan apa yang mereka ada dan sentiasa tidak merasa cukup. Manusia semakin hari semakin lupa dengan tujuan kehadiran mereka di dunia ini. Malah ramai yang mengambil kesempatan ke atas orang lain, sanggup menjatuhkan, menyusahkan dan membunuh orang lain semata-mata untuk kesenangan diri sendiri. Manusia seharusnya menyedari hakikat bahawa Allah melahirkan mereka ke dunia ini adalah untuk akhirat semata-mata. Samada kekayaan, kemajuan dan kemuliaan atau sebaliknya kemiskinan kemunduran dan kehinaan yang dikurniakan kepada mereka sepanjang kehidupan di dunia tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk akhirat semata-mata.
Meskipun segala kejadian yang berlaku telah termaktub sejak azali dan Allah Maha Mengetahui dengan apa yang berlaku dan akan berlaku, bagaimanapun manusia telah diberi pilihan untuk memilih jalan kehidupan. Berpandukan ilmu dan keimanan dan di dalam batas keizinan Allah SWT, manusia masih berpeluang menyelamatkan diri dari terjerumus ke perangkap hina dunia.
Hakikatnya Allah SWT telah menyuruh manusia memilih kemajuan dan meninggalkan kemunduran. Manusia telah disuruh memilih kekayaan dan meninggalkan kemiskinan. Manusia telah disuruh memilih kemuliaan dan meninggalkan kehinaan. Tetapi kemajuan, kekayaan dan kemuliaan yang bagaimana yang harus dicapai? Surah AlHadid ayat 20 jelas sekali melarang manusia membolot kemajuan, kekayaan dan kemuliaan hanya untuk bermegah-megah dan berbangga bangga dan riak. Allah melarang segala bentuk keduniaan, apatah lagi segala kesenangan itu dicapai dengan cara menindas orang lain. Allah telah menyediakan balasan berupa azab yang pedih kepada mereka yang hanya mementingkan keduniaan semata-mata. Sebaliknya Allah telah menyediakan keampunan yang besar kepada mereka yang membawa dunia untuk kepentingan akhirat.
Manusia tidak akan lalai dengan kesibukan dunia ini sekiranya mereka tahu dan sedar bahawa dunia ini hanyalah sebentar sahaja, sebagaimana yang difirmankan Allah SWT;

" Dan (ingatlah) masa Tuhan himpunkan mereka ( pada hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia ini melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari, Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima balasan, dan yang tidak mendapat petunjuk ( ke jalan mencari untung semasa hidup di dunia).

(Surah Yunus ayat 45)

Bagaimanakah menggunakan dunia untuk mencapai keuntungan di akhirat? Tidak lain dan tidak bukan adalah bersyukur dengan apa yang diperolehi di dunia ini. Bersyukur tidak terbatas hanya mengucap perkataan syukur dibibir semata-mata, sebaliknya ia perlu dizahirkan yang merangkumi niat, cara mencapai niat, cara perlaksanaan tindakan, cara mempergunakan peluang, dan cara menyalurkan faedah daripada apa yang diperolehi. Ia termasuk juga tidak mengabaikan tuntutan-tuntutan ibadah wajib; melaksanakan dan menyempurkan rukun Islam dan rukun iman, memelihara amal perbuatan, lidah dan pandangan, serta memelihara hati supaya sentiasa takut dan taat kepada Allah SWT. Begitu juga berbuat baik kepada ibubapa dan saudara seagama dan sesama manusia. Inilah erti kemajuan, kekayaan dan dan kemuliaan yang diredhai Allah. Keduniaan yang berciri akhirat akan dapat memastikan Deenul Islam terus kukuh bertapak di muka bumi.
Sebagai individu yang tergolong di dalam golongan yang terlibat secara langsung di dalam pembangunan materialistik; jurutera, saintis, ahli perniagaan dan sebagainya, amat penting mereka melihat dan muhasabah kembali setiap langkah tindakan masing-masing. Amat beruntunglah golongan profesional ini sekiranya mereka dapat membawa profession mereka selaras dengan tuntutan untuk kepentingan akhirat. Semoga dengan adanya golongan ini, tiadalah dunia ini rosak binasa oleh pembangunan yang hanya membabi buta tanpa mengikuti batas-batas yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Wassalam

Wednesday, August 13, 2008

Permata hati mama; bukti Keagungan PenciptaNya

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.

Dua permata hati mama;

kakak : Nurul Mardhiah binti Mohd Aminudeen

Dilahirkan pada jam 12.40 pagi 21 Oktober 2004 di Hospital Besar Batu Pahat Johor. Usia mencecah 4 tahun dan bakal menjejakkan kaki ke sekolah tadika.

Adik: Nurul Amna binti Mohd Aminudeen

Dilahirkan pada jam 11.20 pagi 19 April 2007 di Hospital Bersalin Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Usia mencecah setahun 5 bulan, sudah lincah berlari dan petah berkata-kata.

Syukur yang tidak terhingga kupanjatkan kepada Allah SWT, Tuhan Pencipta sekalian alam yang telah mengurniakan aku dua permata yang tidak ternilai harganya ini. Dengan segala takdir dan kesempurnaan yang hadir bersama lahirnya jasad mereka ke dunia ini, aku semakin kagum dengan Kekuasaan Penciptanya. Dari semenjak di dalam rahim, kedua-dua 'heroin' ini telah menunjukkan ciri-ciri yang sangat mengagumkan. Dizahirkan melalui pelakuan mamanya di dalam kehidupan saharian, aku yakin dan berharap zuriat yang bakal kulahirkan memiliki ciri-ciri yang aku diidamkan. Ciri-ciri apa lagi yang diharapkan oleh setiap pasangan ibu bapa selain kesihatan dan kesempurnaan, kecerdikan, kepintaran dan yang paling penting kesolehan; soleh kepada Penciptanya dan kepada ibu bapanya. Setiap saat kuberdoa semoga zuriat yang hadir dalam hidup kami adalah yang terbaik buat kami, mendapat keberkatan dan rahmat dari Tuhan Pencipta alam. Merekalah pewaris perjuangan Al-Ghazali, Ibnu Sina serta semua ulama dan cendekiawan hebat masa silam. Merekalah pengganti saintis-saintis ternama seperti Albert Einstein di dalam membongkar rahsia-rahsia alam sebagaimana yang telah diceritakan di dalam Al-quran. Dalam pada itu aku tidak lupa mengharapkan permata-permataku ini bakal menjadi bidadari syurga sebagaimana yang telah ditaklifkan kepada Saidatina Khadijah, Saidatina Aisyah, Fatimah Az-Zahra dan ummul mukminin yang lain.
Sangat besar harapanku kepada dua orang 'heroin'ku ini. Anaklah harta yang paling berharga di dunia dan akhirat. Di dunia mereka penyeri dan penghibur, di akhirat mereka adalah penyelamat. Tetapi sebaliknya, kealpaan ibubapa mendidik anak dengan sempurna akan mengheret ibubapanya ke lubuk kesusahan di dunia dan menjerumuskan mereka ke dalam neraka.

Wasalam

Tentang saya

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera

Diberi nama Salmah binti Karman, dilahirkan pada 20 Februari 1979 adalah anak jati Batu Pahat, johor. Mendapat pendidikan awal pada tahun 1986 di Sekolah Kebangsaan Parit Ju, merupakan seorang murid yang aktif dan lasak. Dengan keputusan UPSR yang sederhana, Salmah telah melanjutkan persekolahan menengahnya di Sekolah Menengah Dato' Sulaiman , Parit Sulong sehingga ke tingkatan 3. Dengan keputusan yang agak cemerlang di dalam PMR pada tahun 1994, Salmah telah diterima melanjutkan persekolahannya ke Maktab Rendah Sains Mara Muar, Johor. Selama 2 tahun bertungkus lumus mengharungi pahit getir kehidupan asrama, akhirnya Salmah telah berjaya membuktikan kemampuannya di dalam memperoleh keputusan cemerlang di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Dengan kecemerlangannya itu, dia telah ditawarkan biasiswa kerajaan untuk mengikuti pengajian di Universiti Oita Jepun dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik pada tahun 1997.
Sekembalinya ke tanahair, Salmah telah memulakan kariernya sebagai jurutera di Sharp Manufacturing (M) Sdn Bhd Batu Pahat Johor pada tahun 2004. Pada tahun 2005, dia mengubah haluan ke bidang pemasaran apabila diterima bertugas sebagai Pegawai pemasaran dan Japanese Help Desk di RHB bank berhad Kuala Lumpur. Setahun kemudian dia telah ditawarkan jawatan pensyarah di Universiti Malaya sekaligus mendapat pembiyaan penuh untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana di Universiti Malaya sendiri di dalam bidang kejuruteraan Bioperubatan. Kini dia dalam proses menyiapkan thesisnya dan bertugas secara sepenuh masa di jabatan tersebut.
Secara ringkas, kehidupan peribadinya sangat sederhana. Dilahirkan dalam keluarga kampung yang sangat kekurangan di dalam ilmu pengetahuan. Namun atas kesedaran dan semangat ayahnya, ditambah dengan doa restu emak, akhirnya Salmah dan adik-adiknya mampu menjejakkan kaki ke menara gading, dan merangkul kejayaan di dalam kehidupan. Bertemu jodoh dengan lelaki pilihanya yang juga seniornya semasa di kampus matrikulasi, dia kini dikurniakan dua orang permata hati.

Tuesday, August 12, 2008

Selamat Datang

Assalamualaikum dan selamat sejahtera