Wednesday, November 18, 2009

BioMalaysia 2009 : Biosensor pastikan makanan selamat

Assalamualaikum wbt

Persidangan dan pameran BioMalaysia 2009 sedang berlangsung di Konvensyen center KLCC pada 17hb hingga 19hb November ini. Sebanyak 22 projek daripada universiti Malaya akan dipamerkan pada persidangan ini. Mari sertai beramai-ramai

___________________________________________________

Biosensor pastikan makanan selamat

13 June 2008 – Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN

Penanaman sayur-sayuran antara subsektor pertanian makanan yang wajar diberi penekanan kerana pasarannya sentiasa ada.

Namun, industri tersebut wajar mendapat sokongan dan suntikan teknologi supaya lebih berdaya saing dan selamat untuk pengguna.

Justeru Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) tampil menjalankan penyelidikan untuk membangunkan teknologi biosensor dan biodiagnostik bagi mengesan masalah keracunan dalam makanan termasuk sayur-sayuran.

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Abd. Shukor Abd. Rahman berkata, pihaknya mahu memperkenalkan biosensor dan biodiagnostik dalam pelbagai industri di negara ini.

“Biosensor dan biodiagnostik boleh digunakan dalam pelbagai industri seperti makanan, ternakan, ternakan sebagai satu langkah memajukan industri berkenaan,” katanya.

Abd Shukor berkata, biosensor digunakan untuk mengesan pencemaran, bahan toksik atau kualiti sesuatu bahan yang diragui.

Misalnya biosensor boleh digunakan untuk mengesan sisa racun serangga pada sayuran atau antibiotik pada ternakan dalam masa yang singkat berbanding kaedah konvensional.

“Penggunaan biosensor boleh mengesan sisa racun serangga dalam sayuran segar dalam masa hanya 30 minit dalam ukuran bahagian persejuta berbanding tiga hari sebelumnya,” katanya.

Di negara maju teknologi biosensor telah digunakan sejak 10 tahun lalu untuk mengesan sisa racun serangga pada sayuran segar.

Teknologi biosensor mudah alih boleh diletakkan di sempadan pintu-pintu masuk negara bagi memastikan sayuran dan ternakan yang dibawa masuk atau keluar tidak mempunyai sisa racun serangga atau antibiotik seperti ditetapkan.

Sebelum ini biosensor atau biodiagnostik telah digunakan dalam sains perubatan, alam sekitar, toksik dalam air dan udara serta pertanian.

Sehingga ini Abd Shukor berkata, MARDI telah berjaya membangunkan dan mempatenkan biosensor untuk mengesan sisa racun serangga pada sayuran di dalam dan luar negara.

Justeru bagi meningkatkan lagi pembangunan teknologi berkenaan, MARDI menjalinkan kerjasama dengan negara-negara maju seperti United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) yang menjadi peneraju teknologi berkenaan.

“Bidang pertanian mempunyai potensi yang besar untuk dibangunkan seperti dalam sains perubatan,” katanya selepas Persidangan Biosensor dan Biodiagnostik Serantau di ibu negara, baru-baru ini.

Persidangan tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta bukan saja dari dalam negara tetapi juga peringkat antarabangsa.

Selain MARDI, persidangan tersebut turut mendapat kerjasama kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), SIRIM, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Industri Selangor (Unisel) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memberikan peluang kepada saintis dan ahli akademik untuk bertukar pendapat mengenai status biosensor dan biodiagnostik di negara ini.

No comments: