Thursday, August 14, 2008

Dunia adalah persediaan ke akhirat : dari perspektif pembangunan materialistik

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera

Firman Allah SWT

"Ketahuilah bahawa ( yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah ( bawaan hidup yang berupa) semata-mata permainan dan hiburan ( yang melalaikan) serta perhiasan ( yang mengurang), juga ( bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu ( dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba memperbanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang ( menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu ), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia hancur bersepai; dan ( hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat ( disediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan dunia itu), dan ( ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah ( disediakan bagi orang-orany yang mengutamakan akhirat). Dan ( ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya."

(Surah AlHadid, ayat 20)

Setiap saat dan detik di dunia ini merupakan ujian yang Allah SWT telah tetapkan ke atas manusia. Allah melimpahkan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan menarik nikmat dari sesiapa yang dikehendakiNya. Ramai manusia di dunia ini diberi kesenangan dan ramai juga yang diberi kesusahan di dalam kehidupan masing-masing. Ramai yang bersyukur dengan apa yang mereka ada , dan ramai juga yang kufur dengan apa yang diterimanya. Dunia menyaksikan manusia tidak pernah merasa puas dengan apa yang mereka ada dan sentiasa tidak merasa cukup. Manusia semakin hari semakin lupa dengan tujuan kehadiran mereka di dunia ini. Malah ramai yang mengambil kesempatan ke atas orang lain, sanggup menjatuhkan, menyusahkan dan membunuh orang lain semata-mata untuk kesenangan diri sendiri. Manusia seharusnya menyedari hakikat bahawa Allah melahirkan mereka ke dunia ini adalah untuk akhirat semata-mata. Samada kekayaan, kemajuan dan kemuliaan atau sebaliknya kemiskinan kemunduran dan kehinaan yang dikurniakan kepada mereka sepanjang kehidupan di dunia tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk akhirat semata-mata.
Meskipun segala kejadian yang berlaku telah termaktub sejak azali dan Allah Maha Mengetahui dengan apa yang berlaku dan akan berlaku, bagaimanapun manusia telah diberi pilihan untuk memilih jalan kehidupan. Berpandukan ilmu dan keimanan dan di dalam batas keizinan Allah SWT, manusia masih berpeluang menyelamatkan diri dari terjerumus ke perangkap hina dunia.
Hakikatnya Allah SWT telah menyuruh manusia memilih kemajuan dan meninggalkan kemunduran. Manusia telah disuruh memilih kekayaan dan meninggalkan kemiskinan. Manusia telah disuruh memilih kemuliaan dan meninggalkan kehinaan. Tetapi kemajuan, kekayaan dan kemuliaan yang bagaimana yang harus dicapai? Surah AlHadid ayat 20 jelas sekali melarang manusia membolot kemajuan, kekayaan dan kemuliaan hanya untuk bermegah-megah dan berbangga bangga dan riak. Allah melarang segala bentuk keduniaan, apatah lagi segala kesenangan itu dicapai dengan cara menindas orang lain. Allah telah menyediakan balasan berupa azab yang pedih kepada mereka yang hanya mementingkan keduniaan semata-mata. Sebaliknya Allah telah menyediakan keampunan yang besar kepada mereka yang membawa dunia untuk kepentingan akhirat.
Manusia tidak akan lalai dengan kesibukan dunia ini sekiranya mereka tahu dan sedar bahawa dunia ini hanyalah sebentar sahaja, sebagaimana yang difirmankan Allah SWT;

" Dan (ingatlah) masa Tuhan himpunkan mereka ( pada hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia ini melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari, Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima balasan, dan yang tidak mendapat petunjuk ( ke jalan mencari untung semasa hidup di dunia).

(Surah Yunus ayat 45)

Bagaimanakah menggunakan dunia untuk mencapai keuntungan di akhirat? Tidak lain dan tidak bukan adalah bersyukur dengan apa yang diperolehi di dunia ini. Bersyukur tidak terbatas hanya mengucap perkataan syukur dibibir semata-mata, sebaliknya ia perlu dizahirkan yang merangkumi niat, cara mencapai niat, cara perlaksanaan tindakan, cara mempergunakan peluang, dan cara menyalurkan faedah daripada apa yang diperolehi. Ia termasuk juga tidak mengabaikan tuntutan-tuntutan ibadah wajib; melaksanakan dan menyempurkan rukun Islam dan rukun iman, memelihara amal perbuatan, lidah dan pandangan, serta memelihara hati supaya sentiasa takut dan taat kepada Allah SWT. Begitu juga berbuat baik kepada ibubapa dan saudara seagama dan sesama manusia. Inilah erti kemajuan, kekayaan dan dan kemuliaan yang diredhai Allah. Keduniaan yang berciri akhirat akan dapat memastikan Deenul Islam terus kukuh bertapak di muka bumi.
Sebagai individu yang tergolong di dalam golongan yang terlibat secara langsung di dalam pembangunan materialistik; jurutera, saintis, ahli perniagaan dan sebagainya, amat penting mereka melihat dan muhasabah kembali setiap langkah tindakan masing-masing. Amat beruntunglah golongan profesional ini sekiranya mereka dapat membawa profession mereka selaras dengan tuntutan untuk kepentingan akhirat. Semoga dengan adanya golongan ini, tiadalah dunia ini rosak binasa oleh pembangunan yang hanya membabi buta tanpa mengikuti batas-batas yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Wassalam

Wednesday, August 13, 2008

Permata hati mama; bukti Keagungan PenciptaNya

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.

Dua permata hati mama;

kakak : Nurul Mardhiah binti Mohd Aminudeen

Dilahirkan pada jam 12.40 pagi 21 Oktober 2004 di Hospital Besar Batu Pahat Johor. Usia mencecah 4 tahun dan bakal menjejakkan kaki ke sekolah tadika.

Adik: Nurul Amna binti Mohd Aminudeen

Dilahirkan pada jam 11.20 pagi 19 April 2007 di Hospital Bersalin Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Usia mencecah setahun 5 bulan, sudah lincah berlari dan petah berkata-kata.

Syukur yang tidak terhingga kupanjatkan kepada Allah SWT, Tuhan Pencipta sekalian alam yang telah mengurniakan aku dua permata yang tidak ternilai harganya ini. Dengan segala takdir dan kesempurnaan yang hadir bersama lahirnya jasad mereka ke dunia ini, aku semakin kagum dengan Kekuasaan Penciptanya. Dari semenjak di dalam rahim, kedua-dua 'heroin' ini telah menunjukkan ciri-ciri yang sangat mengagumkan. Dizahirkan melalui pelakuan mamanya di dalam kehidupan saharian, aku yakin dan berharap zuriat yang bakal kulahirkan memiliki ciri-ciri yang aku diidamkan. Ciri-ciri apa lagi yang diharapkan oleh setiap pasangan ibu bapa selain kesihatan dan kesempurnaan, kecerdikan, kepintaran dan yang paling penting kesolehan; soleh kepada Penciptanya dan kepada ibu bapanya. Setiap saat kuberdoa semoga zuriat yang hadir dalam hidup kami adalah yang terbaik buat kami, mendapat keberkatan dan rahmat dari Tuhan Pencipta alam. Merekalah pewaris perjuangan Al-Ghazali, Ibnu Sina serta semua ulama dan cendekiawan hebat masa silam. Merekalah pengganti saintis-saintis ternama seperti Albert Einstein di dalam membongkar rahsia-rahsia alam sebagaimana yang telah diceritakan di dalam Al-quran. Dalam pada itu aku tidak lupa mengharapkan permata-permataku ini bakal menjadi bidadari syurga sebagaimana yang telah ditaklifkan kepada Saidatina Khadijah, Saidatina Aisyah, Fatimah Az-Zahra dan ummul mukminin yang lain.
Sangat besar harapanku kepada dua orang 'heroin'ku ini. Anaklah harta yang paling berharga di dunia dan akhirat. Di dunia mereka penyeri dan penghibur, di akhirat mereka adalah penyelamat. Tetapi sebaliknya, kealpaan ibubapa mendidik anak dengan sempurna akan mengheret ibubapanya ke lubuk kesusahan di dunia dan menjerumuskan mereka ke dalam neraka.

Wasalam

Tentang saya

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera

Diberi nama Salmah binti Karman, dilahirkan pada 20 Februari 1979 adalah anak jati Batu Pahat, johor. Mendapat pendidikan awal pada tahun 1986 di Sekolah Kebangsaan Parit Ju, merupakan seorang murid yang aktif dan lasak. Dengan keputusan UPSR yang sederhana, Salmah telah melanjutkan persekolahan menengahnya di Sekolah Menengah Dato' Sulaiman , Parit Sulong sehingga ke tingkatan 3. Dengan keputusan yang agak cemerlang di dalam PMR pada tahun 1994, Salmah telah diterima melanjutkan persekolahannya ke Maktab Rendah Sains Mara Muar, Johor. Selama 2 tahun bertungkus lumus mengharungi pahit getir kehidupan asrama, akhirnya Salmah telah berjaya membuktikan kemampuannya di dalam memperoleh keputusan cemerlang di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Dengan kecemerlangannya itu, dia telah ditawarkan biasiswa kerajaan untuk mengikuti pengajian di Universiti Oita Jepun dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik pada tahun 1997.
Sekembalinya ke tanahair, Salmah telah memulakan kariernya sebagai jurutera di Sharp Manufacturing (M) Sdn Bhd Batu Pahat Johor pada tahun 2004. Pada tahun 2005, dia mengubah haluan ke bidang pemasaran apabila diterima bertugas sebagai Pegawai pemasaran dan Japanese Help Desk di RHB bank berhad Kuala Lumpur. Setahun kemudian dia telah ditawarkan jawatan pensyarah di Universiti Malaya sekaligus mendapat pembiyaan penuh untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana di Universiti Malaya sendiri di dalam bidang kejuruteraan Bioperubatan. Kini dia dalam proses menyiapkan thesisnya dan bertugas secara sepenuh masa di jabatan tersebut.
Secara ringkas, kehidupan peribadinya sangat sederhana. Dilahirkan dalam keluarga kampung yang sangat kekurangan di dalam ilmu pengetahuan. Namun atas kesedaran dan semangat ayahnya, ditambah dengan doa restu emak, akhirnya Salmah dan adik-adiknya mampu menjejakkan kaki ke menara gading, dan merangkul kejayaan di dalam kehidupan. Bertemu jodoh dengan lelaki pilihanya yang juga seniornya semasa di kampus matrikulasi, dia kini dikurniakan dua orang permata hati.

Tuesday, August 12, 2008

Selamat Datang

Assalamualaikum dan selamat sejahtera