Thursday, August 14, 2008

Dunia adalah persediaan ke akhirat : dari perspektif pembangunan materialistik

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera

Firman Allah SWT

"Ketahuilah bahawa ( yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah ( bawaan hidup yang berupa) semata-mata permainan dan hiburan ( yang melalaikan) serta perhiasan ( yang mengurang), juga ( bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu ( dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba memperbanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang ( menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu ), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia hancur bersepai; dan ( hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat ( disediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan dunia itu), dan ( ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah ( disediakan bagi orang-orany yang mengutamakan akhirat). Dan ( ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya."

(Surah AlHadid, ayat 20)

Setiap saat dan detik di dunia ini merupakan ujian yang Allah SWT telah tetapkan ke atas manusia. Allah melimpahkan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan menarik nikmat dari sesiapa yang dikehendakiNya. Ramai manusia di dunia ini diberi kesenangan dan ramai juga yang diberi kesusahan di dalam kehidupan masing-masing. Ramai yang bersyukur dengan apa yang mereka ada , dan ramai juga yang kufur dengan apa yang diterimanya. Dunia menyaksikan manusia tidak pernah merasa puas dengan apa yang mereka ada dan sentiasa tidak merasa cukup. Manusia semakin hari semakin lupa dengan tujuan kehadiran mereka di dunia ini. Malah ramai yang mengambil kesempatan ke atas orang lain, sanggup menjatuhkan, menyusahkan dan membunuh orang lain semata-mata untuk kesenangan diri sendiri. Manusia seharusnya menyedari hakikat bahawa Allah melahirkan mereka ke dunia ini adalah untuk akhirat semata-mata. Samada kekayaan, kemajuan dan kemuliaan atau sebaliknya kemiskinan kemunduran dan kehinaan yang dikurniakan kepada mereka sepanjang kehidupan di dunia tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk akhirat semata-mata.
Meskipun segala kejadian yang berlaku telah termaktub sejak azali dan Allah Maha Mengetahui dengan apa yang berlaku dan akan berlaku, bagaimanapun manusia telah diberi pilihan untuk memilih jalan kehidupan. Berpandukan ilmu dan keimanan dan di dalam batas keizinan Allah SWT, manusia masih berpeluang menyelamatkan diri dari terjerumus ke perangkap hina dunia.
Hakikatnya Allah SWT telah menyuruh manusia memilih kemajuan dan meninggalkan kemunduran. Manusia telah disuruh memilih kekayaan dan meninggalkan kemiskinan. Manusia telah disuruh memilih kemuliaan dan meninggalkan kehinaan. Tetapi kemajuan, kekayaan dan kemuliaan yang bagaimana yang harus dicapai? Surah AlHadid ayat 20 jelas sekali melarang manusia membolot kemajuan, kekayaan dan kemuliaan hanya untuk bermegah-megah dan berbangga bangga dan riak. Allah melarang segala bentuk keduniaan, apatah lagi segala kesenangan itu dicapai dengan cara menindas orang lain. Allah telah menyediakan balasan berupa azab yang pedih kepada mereka yang hanya mementingkan keduniaan semata-mata. Sebaliknya Allah telah menyediakan keampunan yang besar kepada mereka yang membawa dunia untuk kepentingan akhirat.
Manusia tidak akan lalai dengan kesibukan dunia ini sekiranya mereka tahu dan sedar bahawa dunia ini hanyalah sebentar sahaja, sebagaimana yang difirmankan Allah SWT;

" Dan (ingatlah) masa Tuhan himpunkan mereka ( pada hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia ini melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari, Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima balasan, dan yang tidak mendapat petunjuk ( ke jalan mencari untung semasa hidup di dunia).

(Surah Yunus ayat 45)

Bagaimanakah menggunakan dunia untuk mencapai keuntungan di akhirat? Tidak lain dan tidak bukan adalah bersyukur dengan apa yang diperolehi di dunia ini. Bersyukur tidak terbatas hanya mengucap perkataan syukur dibibir semata-mata, sebaliknya ia perlu dizahirkan yang merangkumi niat, cara mencapai niat, cara perlaksanaan tindakan, cara mempergunakan peluang, dan cara menyalurkan faedah daripada apa yang diperolehi. Ia termasuk juga tidak mengabaikan tuntutan-tuntutan ibadah wajib; melaksanakan dan menyempurkan rukun Islam dan rukun iman, memelihara amal perbuatan, lidah dan pandangan, serta memelihara hati supaya sentiasa takut dan taat kepada Allah SWT. Begitu juga berbuat baik kepada ibubapa dan saudara seagama dan sesama manusia. Inilah erti kemajuan, kekayaan dan dan kemuliaan yang diredhai Allah. Keduniaan yang berciri akhirat akan dapat memastikan Deenul Islam terus kukuh bertapak di muka bumi.
Sebagai individu yang tergolong di dalam golongan yang terlibat secara langsung di dalam pembangunan materialistik; jurutera, saintis, ahli perniagaan dan sebagainya, amat penting mereka melihat dan muhasabah kembali setiap langkah tindakan masing-masing. Amat beruntunglah golongan profesional ini sekiranya mereka dapat membawa profession mereka selaras dengan tuntutan untuk kepentingan akhirat. Semoga dengan adanya golongan ini, tiadalah dunia ini rosak binasa oleh pembangunan yang hanya membabi buta tanpa mengikuti batas-batas yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Wassalam

No comments: